Sunday, 19 June 2011

BERITA

4 maut lori jatuh terjunam ke dalam gaung di Gua Musang

20/06/2011 3:11am

Gua Musang 20 Jun — Empat lelaki, termasuk dua beradik, maut apabila lori yang mereka naiki dengan penuh muatan baja, terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter di Jalan Lojing Lama, dekat sini, semalam.

Yang terbunuh dalam kejadian 11.30 pagi itu ialah pemandu lori, S. , 39; kelindannya, K. Muniandy, 31; dan dua dua beradik Orang Asli, Bah Chiumebu Saleh, 30 dan Bah Jipi, 28.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku semasa mereka, kesemuanya dari Perak, dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Lojing, Gua Musang melalui Jalan Lojing Lama.
Beliau berkata, pemandu lori terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan menjunam ke dalam gaung.
Saiful Bahri berkata, dua daripada mangsa tercampak keluar dari lori itu, manakala dua lagi tertimbus di bawah timbunan baja setelah lori itu terbalik.

"Seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. — Bernama

No comments:

Post a Comment